no comments

Penyebab, Tanda Jangkitan dan Tips Pencegahan Penyakit Peneumokokal.

Apakah Penyakit Pneumokokal?

Penyakit Pneumokokal berpunca dari sejenis bakteria yang biasa menyebabkan jangkitan tekak dan telinga dan juga boleh menyebabkan jangkitan yang lebih serius seperti radang paru-paru dan radang selaput otak dan saraf tunjang yang boleh membawa maut.

Ia berpunca dari bacterium Streptococcus Pneumoniae yang terdapat pada lapisan hidung dan tekak orang yang sihat (pembawa kuman) dan boleh merebak melalui batuk dan sentuhan orang yang berada di sekeliling secara terus.

Terdapat hampir 90 jenis serotip pnuemokokal. Kebanyakkannya mengakibatkan jangkitan ringan namun ada segelintir yang mampu menyebabkan jangkitan lebih teruk.

Jenis-jenis Penyakit Pneumokokal

#1: Pneumonia

Juga dikenali sebagai radang paru-paru atau jangkitan kuman di paru-paru. Ia boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan ruang pleural, keradangan kantung yang mengelilingi jantung dan pembentukan abses paru-paru.

Tanda-tanda jangkitan:
Kesukaran bernafas, pernafasan laju (boleh lihat anak tarik nafas hingga ke perut), batuk berkahak atau tanpa kahak, rasa tidak sihat dan kerap merengek, demam, sakit dada dan seram sejuk.

#2: Meningitis

Merupakan radang selaput otak dan saraf tunjang. Antara komplikasinya adalah serebral palsi, epilepsi, kerosakan otak, penyakit buah pinggang, kehilangan pendengaran, amputasi anggota badan, kelewatan perkembangan dan kematian.

Tanda-tanda jangkitan:
Leher kejang, demam, sakit kepala, tidak berupaya untuk makan, meragam serta kelesuan.

#3: Otitis Media

Merupakan jangkitan di bahagian telinga tengah. Otitis Media boleh menyebabkan jangkitan Meningitis dan mastoiditis iaitu jangkitan di tulang mastoid yang terletak di belakang dan di atas cuping telinga.

Tanda-tanda jangkitan:
Sakit telinga, sukar tidur, demam dan kerengsaan.

#4: Bakteraemia

Merupakan bakteria dalam aliran darah. Ia memberi kesan kepada neurologi dan sepsis dan keadaan ini boleh mengancam nyawa.

Tanda-tanda jangkitan:
Demam, kerengsaan, bintik merah pada kulit, kekeliruan atau perubahan mental.

Siapakah yang berisiko tinggi dijangkiti Penyakit Pneumokokal?

1) Kanak-kanak di bawah umur 2 tahun
2) Kanak-kanak yang mempunyai masalah penyakit kronik
3) Kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan

Apakah langkah pencegahan untuk mengelak Penyakit Pneumokokal?

Mengamalkan cara hidup yang sihat, memastikan kebersihan diri dan persekitaran, penyusuan susu ibu serta pengambilan vaksin atau imunisasi boleh mencegah dan melindungi kanak-kanak daripada jangkitan Penyakit Pneumokokal ini.

Jika anak batuk dan selesema, ibu perlulah memastikan anak mendapat rehat yang secukupnya, minum air mencukupi, menjaga dan mengawal makan minum anak agar selesema dan batuk tidak berlarutan serta mendapatkan rawatan daripada doktor. Sekiranya anak mempunyai tanda-tanda jangkitan segeralah ke hospital kerana jika ia dapat dikesan dari awal dan diberikan rawatan yang sewajarnya, penyakit ini dapat dikawal.

emlac320

Reply